Malaysia FM Golongan Muda

Cabaran Generasi Muda Menyertai Industri Pengurusan Fasiliti

By

Zul Azhan

Penyertaan Golongan Muda Terhad

Pernahkah kita berjumpa mana-mana graduan muda mempunyai cita-cita untuk menceburi bidang pengurusan fasiliti (FM)?

Apakah cabaran untuk generasi muda menyertai industri FM di Malaysia?

Di Malaysia, golongan berumur 23 hingga 30 tahun adalah kumpulan pekerja paling besar di dalam pasaran kerja. Industri FM yang bernilai anggaran RM52 bilion sepatutnya membuka lebih banyak ruang peluang pekerjaan kepada golongan ini.

Namun tiada data khusus yang merekodkan peratusan penyertaan golongan muda (bawah 30 tahun) dalam industri FM Malaysia. Mungkin pihak yang terbabit boleh memulakan inisiatif untuk mengukur tenaga kerja di dalam industri FM. Pemahaman demografik tenaga kerja industri dapat membantu menyediakan asas kepada analisis lebih mendalam penyertaan golongan pelapis.

Dari segi saiz industri, jika dibandingkan industri lain di Malaysia:

  • Hartanah RM240 bilion
  • F&B RM228 bilion
  • Pelancongan RM210 bilion
  • Pengurusan Fasiliti RM52 bilion
  • Kesihatan RM38 bilion
  • Kosmetik & Kecantikan RM20 bilion

Saiz industri FM yang agak besar dan mempunyai impak kepada GDP negara. Namun industri ini tidak berjaya menarik minat golongan muda. Apakah punca kepada jurang ini?

FM Bukan Pilihan Pertama, Kebetulan atau Suratan

Berdasarkan pemerhatian saya selama lebih 23 tahun dalam industri ini, kebanyakan golongan profesional FM menyertai industri secara kebetulan. Tetapi saya jangka terdapat perubahan dari pola penyertaan ke industri kerana berbanding beberapa tahun yang lepas, sudah wujud beberapa recognition rasmi di akademia (ada jurusan khusus) dan juga melalui CIDB (professional certifications).

Perakuan rasmi dari agensi kerajaan adalah langkah tepat untuk memastikan industri ini boleh recognised bakat dan juga sumbangan selain diperakui melalui jawatan dan karier yang jelas di dalam sektor awam dan swasta.

Disebabkan kerja-kerja FM berkait rapat dengan aspek teknikal, ramai yang asalnya berasal dari latar belakang kejuruteraan. Mereka mula sebagai jurutera, kemudian bertukar peranan (sedar atau tidak), dan akhirnya menjadi pengurus fasiliti tanpa perancangan. Ada yang tidak sedar mereka dalam bidang pengurusan fasiliti disebabkan terlalu banyak definisi dan skop kerja yang bertindih dengan industri lain.

Walaupun jalan ini boleh diterima tetapi ia bukan satu perkembangan yang sihat untuk mana-mana industri.

Industri FM sebenarnya sangat unik. Selain memerlukan skill pengurusan yang mahir, ia turut memerlukan tenaga teknikal yang mahir dalam pelbagai bidang seperti HVAC, pelbagai lapangan kejuruteraan seperti elektrik, mekanikal, awam, lanskap, dan sekarang IT. Kepelbagaian ini sepatutnya menjadi kekuatan untuk menarik pelbagai jenis bakat muda. Tetapi ia belum berlaku pada tahap yang sepatutnya.

Adalah merugikan apabila sebuah industri yang mampu menawarkan pelbagai peluang pekerjaan tetapi gagal menarik tenaga kerja muda yang mencukupi.

Mengapa Golongan Muda Tidak Memilih FM

Persoalannya bukan semata-mata tentang kesedaran tetapi beberapa faktor yang nyata perlu diberi perhatian:

Persekitaran kerja. Imej industri FM masih sinonim dengan kerja lapangan yang mencabar, waktu kerja yang tidak menentu, dan persekitaran yang kurang kondusif. Suasana kerja yang menjurus kepada ‘a place where people complaint but rarely appreciate’. Ini menjadi penghalang pertama sebelum golongan muda sempat mengenali potensi sebenar industri ini.

Peluang kerjaya yang tidak jelas. Tangga kerjaya dalam FM tidak begitu linear seperti industri lain. Golongan muda memerlukan arah tuju karier yang lebih jelas dalam lima atau sepuluh tahun jika mereka memilih FM sebagai kerjaya. Jika kontrak kerja bergantung dengan kontrak servis syarikat FM (outsourced services), ini turut memberikan risiko jangka panjang kepada golongan muda yang memulakan karier mereka.

Pampasan yang tidak kompetitif. Ini adalah persoalan yang paling kritikal. Adakah industri FM kompetitif dalam menawarkan gaji dan pampasan berbanding syarikat teknologi, perbankan, atau sektor lain yang turut bersaing untuk bakat yang sama? Jawapannya pada masa ini, tidak. Jika diulas lebih lanjut, adakah anugerah kontrak outsourced services berpadanan dengan nilai tenaga kerja yang diperlukan, atau we are racing to the bottom?

Kerana nilai margin perniagaan yang kecil tidak akan dapat menghasilkan peluang pekerjaan yang memberi pampasan setimpal. Adakah servis FM itu low value services atau high value services? Tetapi dengan wujudnya fasiliti yang lebih kompleks seperti data center membolehkan pengurusan fasiliti menangkis persepsi ini?

Selagi industri tidak menjawab soalan-soalan ini dengan tindakan yang nyata, cabaran menarik bakat muda akan menjadi isu berterusan.

Cabang Baru FM

Sebagai pemilik syarikat yang terlibat dalam industri FM melalui produk teknologi, saya melihat satu perkembangan yang agak positif.

Cabang teknologi dalam FM iaitu perisian pengurusan fasiliti, IoT, analitik data, dan automasi bangunan adalah segmen yang mempunyai kebolehan untuk menarik minat golongan muda. Pendedahan kepada teknologi perisian dan perkakasan menjadikan bidang ini lebih relevan dan menarik bagi profesional muda yang membesar dalam era digital.

Ini adalah pintu masuk yang boleh dimanfaatkan oleh industri dengan lebih serius dan satu faktor membolehkan adoption kepada teknologi seperti AI berlaku lebih pantas.

Berkembang atau Sekadar Bertahan

Perubahan besar yang diharapkan ialah graduan membina laluan kerjaya yang jelas ke dalam pengurusan fasiliti secara terancang atau intentional.

Industri FM di Malaysia telah melalui beberapa fasa perubahan positif. Tetapi perubahan yang berlaku selama ini tidak cukup pantas untuk bersaing dengan industri lain dalam menarik bakat muda.

Penyelesaiannya untuk masalah legasi memerlukan evolusi yang lebih terancang.

Industri FM Malaysia banyak memberikan peluang tapi terbatas oleh keberanian untuk berubah dengan lebih pantas. Selagi industri ini tidak menyelesaikan isu pampasan, persekitaran kerja, dan laluan kerjaya yang jelas, golongan muda akan terus memilih tempat lain.

Soalan-soalan Lazim

Mengapa golongan muda Malaysia tidak memilih kerjaya dalam pengurusan fasiliti?

Terdapat tiga faktor utama yang menghalang golongan muda daripada memilih FM sebagai kerjaya. Pertama, persekitaran kerja yang masih sinonim dengan kerja lapangan yang mencabar dan waktu kerja yang tidak menentu. Kedua, laluan kerjaya yang tidak jelas terutamanya apabila pekerjaan bergantung kepada kontrak servis syarikat FM yang boleh tamat bila-bila masa. Ketiga dan paling kritikal, pampasan yang tidak kompetitif berbanding industri teknologi, perbankan, dan sektor lain yang bersaing untuk bakat yang sama. Selagi ketiga-tiga faktor ini tidak diselesaikan, industri akan terus kehilangan bakat mudanya.

Berapa besar industri pengurusan fasiliti Malaysia berbanding industri lain?

Industri pengurusan fasiliti Malaysia bernilai anggaran RM52 bilion. Ia lebih besar daripada industri perkhidmatan kesihatan yang bernilai RM38 bilion dan industri kosmetik serta kecantikan yang bernilai RM20 bilion. Namun berbanding industri hartanah (RM240 bilion), F&B (RM228 bilion), dan pelancongan (RM210 bilion), FM masih jauh lebih kecil walaupun ia adalah tulang belakang kepada semua industri tersebut. Setiap bangunan hotel, restoran, hospital, dan pejabat memerlukan pasukan FM untuk memastikan ia berfungsi setiap hari.

Apakah peluang kerjaya yang ada dalam industri pengurusan fasiliti Malaysia?

Industri FM menawarkan peluang kerjaya yang sangat pelbagai merangkumi pengurusan bangunan, penyelenggaraan HVAC, kejuruteraan elektrik dan mekanikal, pengurusan aset, lanskap, IT bangunan, dan kini teknologi FM seperti perisian CMMS, IoT, dan automasi bangunan. Kepelbagaian ini sepatutnya menjadi kekuatan industri untuk menarik pelbagai jenis bakat muda. Cabang teknologi FM khususnya semakin relevan dan menarik minat graduan muda yang membesar dalam era digital.

Apakah sijil profesional yang diiktiraf untuk kerjaya pengurusan fasiliti di Malaysia?

CIDB Malaysia menawarkan dua program akreditasi utama untuk profesional FM iaitu Pengurus Pengurusan Fasiliti (FMM) di peringkat Level 5 dan Eksekutif Pengurusan Fasiliti (FME). Kedua-dua sijil ini diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan dan diperlukan untuk syarikat kontraktor fasiliti yang berdaftar di bawah Pengkhususan F01 dan F02 CIDB. Selain itu, beberapa universiti tempatan kini menawarkan program pengajian khusus dalam pengurusan fasiliti, menandakan pengiktirafan akademia terhadap industri ini semakin meningkat.

Bagaimana masa depan industri pengurusan fasiliti Malaysia menjelang 2030?

Industri FM Malaysia dijangka berkembang daripada RM52 bilion kepada RM67 bilion menjelang 2030. Pertumbuhan ini didorong oleh pembangunan data centre di Johor, projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), permintaan bangunan hijau dan mampan, serta peningkatan kompleksiti bangunan yang memerlukan pengurusan lebih sofistikated. Namun pertumbuhan ini hanya boleh dicapai sepenuhnya jika industri berjaya menarik dan mengekalkan tenaga kerja muda yang kompeten. Industri yang tidak dapat mengisi jurang bakat mudanya hari ini akan berhadapan dengan krisis kapasiti pada masa hadapan.

← Back to All Post